English Français Indonesian Urdu Malay عربى
 
 
   
   
 
 
 

PERASMIAN PERSIDANGAN TAHUNAN PELAJAR ASING KALI PERTAMA
 
 
 
08 مايو, 2013 12:53:33 م       
 
 
 
Persidangan tahunan pelajar asing kali yang pertama telah berlangsung di dewan besar pusat persidangan al-Azhar  Madinat Nasr pada hari Rabu yang lalu dibawah naungan Imam Besar Dr. Ahmad al-Tayyeb, Syeikh al-Azhar. Persidangan tersebut telah di anjurkan oleh parlimen pelajar wafidin al-Azhar dengan kerjasama Pertubuhan Antarabangsa Alumni al-Azhar.
Persidangan ini telah dihadiri oleh dekan-dekan dan juga para pensyarah Universiti al-Azhar, diantara tokoh-tokoh yang hadir di dalam persidangan itu ialah Dr. Hasan Shafie ketua Jabatan Teknikal di pejabat Syeikh al-Azhar dan juga sebagai ketua Mujamma Al-Lughah al-Arabiah, Dr Abd Dayem Nusair Setiausaha Agong Rabitah serta Dr. Mahyudin Afifi Dekan Kuliah Ilmu Sains Islam wafidin.
Semasa persidangan tersebut Syeikh al-Azhar telah menegaskan bahawa al-Azhar adalah sebuah menara ilmu pengetahuan Agama yang terus kekal beberapa kurun sebagai gedung ilmu pengetahuan yang terkenal bagi mempelajari ilmu sains Islam serta ilmu Syariah. Al-Azhar juga berada di bawah pengurusan negara Mesir dan Mesir amatlah berbangga dengan penghormatan tersebut dengan tujuan untuk memberi sumbangan bakti kepada dunia Islam bahkan kepada dunia seluruhnya.
Beliau juga telah memberi nasihat kepada semua mahasiswa agar memperbaiki niat mereka semata-mata untuk menuntut ilmu dan juga membimbing manusia yang lain sebagaimana firman Allah S.W.T :
{فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ} [التوبة: 122]،
Maksudnya : Dan tidaklah ( betul dan elok ) orang-orang yang beriman keluar semuanya ( pergi berperang ) oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang ( yang tinggal ) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, supaya mereka dapat mengajar kaumnya ( yang keluar berjuang ) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga ( dari melakukan larangan Allah ).
Tegasnya semulia-mulia ilmu itu adalah ilmu pengetahuan mengenai Allah S.W.T dan merasa takut kepadaNya, beliau juga memberi peringatan kepada mahasiswa agar mereka membersihkan hati, tangan dan lidah mereka. Sesungguhnya ilmu itu merupakan satu pancaran cahaya yang dicampak oleh Allah S.W.T ke dalam hati hamba-hambaNya, maka cahaya Allah itu tidak dapat memasuki jiwa orang yang bersifat lalai serta di kuasai oleh hawa nafsu. Lantaran itu anda wajar komited terhadap adab-adab menuntut ilmu. Tambah beliau lagi, ilmu itu terbahagi kepada dua jenis; yang pertama ialah ilmu yang berada di dalam hati dan yang kedua ialah ilmu yang berada di atas  lidah. Maka ilmu yang berada di dalam hati itu adalah ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada anda.
Syeikh al-Azhar juga  menyeru kepada para pelajar wafidin dengan berkata; saya amatlah berharap kepada anda semua agar berterus terang menceritakan keadaan hidup anda serta mencurahkan segala perasaan pahit jerih anda kepada kami, anda janganlah bersikap teragak-agak untuk memberitahu setiap permasalahan yang anda hadapi, maka kami di sini sebagai ibu bapa anda, anda semua adalah merupakan asset simpanan kami yang amat berharga dan kami berjanji kepada anda semua bahawa kami akan berusaha dengan sepenuh tenaga untuk membantu anda menghadapi semua pemasalahan yang merintangi laluan anda agar dengan itu anda dapat berusaha untuk mencapai matlamat yang menjadi tujuan anda datang ke sini.
Matlamat anda adalah untuk mengusai keseluruhan ilmu serta pengetahuan dan juga memahami wasilah kearah memahami bidang tersebut seperti pengusaan didalam berbahasa Arab, ilmu mantiq, daya faham yang tinggi dan luas,  maka selepas itu Allah Taala adalah tempat bergantung harapan dari awal hingga akhir dan Dia adalah Maha Pembuka lagi Maha Mengetahui. 
{أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا فَاحْتَمَلَ السَّيْلُ زَبَدًا رَابِيًا وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيْهِ فِي النَّارِ ابْتِغَاءَ حِلْيَةٍ أَوْ مَتَاعٍ زَبَدٌ مِثْلُهُ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ} [الرعد: 17]".
Maksudnya : Ia menurunkan air ( hujan ) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah  ( dengan airnya ) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya, kemudian banjir itu membawa buih yang
terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar didalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah yang memberi contoh perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan contoh-contoh perbandingan.
Syeikh al-Azhar berkata, menurut Imam Al Ghazali bahawa ilmu itu tidak akan dicapai melainkan dengan sifat merendah diri dan belajar dengan tekun, sesungguhnya dakwah itu tidak akan berhasil buahnya melainkan dengan mempraktikkan semua garis panduan dan adabnya seperti yang disimpulkan oleh Allah S.W.T:
{ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ}
 [النحل: 125]
Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu ( wahai Muhammad ) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka ( yang engkau serukan itu ) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
Firman Allah :
{وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ * وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ} [فصلت: 33، 34].
Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ( mengesakan dan mematuhi perintah ) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam ( yang berserah bulat-bulat kepada Allah ). ( 34 ) Dan tidak sama kesannya dan hukumnya perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (  kejahatan yang ditunjukkan kepadamu ) dengan cara yang lebih baik: Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa bermusuhan terhadapmu, dengan serta –merta akan jadi seolah-olah seorang sahabat karib.
Syeikh al-Azhar semasa menyampaikan ucapannya yang terakhir dengan kata-kata nasihat, kata beliau: Seperti yang anda telah maklum itulah method al-Azhar yang bersifat sederhana dalam memahami Islam dan menjalankan aktiviti dakwah kearah menyebarkan seruannya, maka sekiranya anda mengambilnya sebagai sebuah budaya hidup, maka ia akan mendatangkan kebahagiaan kepada anda manakala umat seluruhnya akan turut merasai keselesaan bersama anda, moga Allah memberi petunjuk kepada kita menuju kearah jalan yang benar.
Sementara itu Dr Abdul Fadhil al-Qusi dalam ucapannya telah memberi fokus kepada tiga dasar yang penting ialah menyentuh di sekitar tema kitab suci al-Quran, institusi al-Azhar dan pelajar-pelajar wafidin. Beliau menyatakan al-Quran adalah sebuah binaan asas yang terbina di atasnya semua persoalan yang menyentuh kehidupan setiap individu, sekiranya anda berpegang teguh dengannya, maka hawa nafsu tidak akan dapat menyesatkan anda.
 Sambung beliau lagi al-Azhar serta gagasan konsep wasatiyyah dan kesderhanaannya adalah merupakan pengawal yang bersifat amanah dalam menjaga seluruh isi kandungan al-Quran. Manakala pelajar wafidin yang berada 
di al-Azhar itu bukanlah orang-orang yang berdagang dibumi Mesir tetapi sebenarnya Mesir adalah negara mereka.
Tegasnya lagi dua tonggak penting itu ialah kitab suci  al-Quran dan kurikulum pelajaran al-Azhar dimana apabila para pelajar wafidin berpegang teguh dengannya lalu di sokong dengan penjiwaan roh pengetahuan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan gagasan konsep al-Azhar yang bersifat wasatiyyah, ketika itu sempurnalah tiga serangkai yang mampu menjadi penawar dalam merawat penyakit dan wabak ummat yang berupa sindrom fitnah, taasub, ekstrim dan melampau.
Dengan kekuatan tiga serangkai tersebut ruh Islam yang suci lagi bersih akan kembali semula kedalam jasad ummat ini. Kemudian beliau merakamkan salam penghormatan kepada semua pelajar wafidin.
Sementara itu Syeikh Ali Abdul Baki, Setiausaha Agong Mujamma al-Buhus al-Islamiah pula memberi statistik bilangan pelajar wafidin yang sedang menuntut di al-Azhar adalah seramai 40 ribu orang. Lebih kurang seramai 5 ribu orang adalah dibawah tajaan biasiswa al-Azhar manakala yang selebihnya adalah pelajar persendirian.
Manakala mereka yang datang ke Mesir dengan menggunakan visa untuk tujuan melancung bukan visa belajar maka pihak al-Azhar telah mengambil inisiatif menukarkannya kepada visa pelajar. Ini membuktikan bahawa terlalu ramai pelajar wafidin ingin menyambungkan pelajaran mereka di al-Azhar walaupun diatas perbelanjaan mereka sendiri.
Beliau juga mengkritik segelintir pelajar wafidin yang mengeksploit masa untuk bekerja dengan bersikap cuai dalam pelajaran dan juga mereka yang meninggalkan pelajaran di al-Azhar lalu mempelajari mazhab yang lain, bukan mazhab al-Azhar yang bercirikan wasatiyyah.
Beliau juga memberi peringatan tentang arahan Syeikh al-Azhar bahawa peri pentingnya mempraktik bahasa Arab fushah semasa berada di dalam dewan terutamanya bersama pelajar wafidin. 
Setelah itu seorang pelajar wafidin dari negara Filipina Abdul Rahman Jamel Abbas yang juga Setiausaha Agong Majlis Solidariti Pelajar Asia, memberi ucapan, dimana beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Syeikh al-Azhar serta berdoa agar Allah Taala menjadikan beliau sebagai akumulatif kepada al-Azhar. Sambung beliau lagi, sesiapa yang inginkan dunia dan akhirat maka wajarlah ia bersama-sama al-Azhar.
Dalam menutup ucapannya, beliau memanjatkan ucapan terima kasih kepada Presiden Mesir Dr. Mohamed Morsi dan menegaskan semua peristiwa yang berlaku di Mesir sekarang ini amatlah menyedihkannya, sambung beliau sekiranya jasadnya telah terdidik dinegaranya tetapi ruh dan jiwanya terdidik di Mesir al-Azhar.